KUALA LUMPUR – Bintang legenda digelar Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau, 85, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini, pada jam 4.40 petang tadi.
Memetik sumber Berita Harian, berita pemergian Allahyarham M Daud yang terkenal dengan imej unik dan dendangan malar segar seperti Cek Mek Molek, dikongsi cucunya dikenali sebagai Hasnor Ikram melalui Instagram Story (IGs).
“Datuk saya, Mohd Daud bin Kilau telah hembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi… Al-Fatihah,” katanya.
Sebelum ini, Allahyarham M Daud dilaporka pernah dimasukkan ke HTI selepas mengadu sesak nafas. Allahyarham M Daud juga pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
Allahyarham M Daud yang dilahirkan di Bagan Datoh, Perak aktif dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.
Allahyarham M Daud kemudian ditawarkan menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan lagu bergenre langgam, asli dan dangdut.
Pada 1985, Allahyarham M Daud menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori nyanyian asli.
Aksi M Daud bergelek selain kecenderungan melaram di pentas sambil menukar persalinan secara spontan, mengumpan peminat sejak era 1980-an. Selain Cek Mek Molek dan Sirih Pinang, M Daud popular dengan lagu Anak Derhaka, Gila Judi dan Pening yang dirakam bersama Ezlynn pada 2003.