KOTA KINABALU: Dua lelaki dilaporkan selamat selepas kenderaan jensi Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam kolam kumbahan di Jalan Loji, Taman Kingfisher, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.28 pagi.
Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi dan tiba dalam masa lapan minit.
Menurut Pegawai Operasi, Lawrence Matusin, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam kolam kumbahan berhampiran loji.
“Dua mangsa lelaki masing-masing berusia 49 dan 79 tahun dipercayai tersepit di dalam kenderaan, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba. Kedua-duanya berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pihak bomba menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.54 pagi.
Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu melancarkan pengurusan lalu lintas serta siasatan lanjut terhadap punca kemalangan.