KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd. Noor sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kemajuan dan pembangunan pendidikan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama termasuk pembangunan dan kemajuan sekolah-sekolah di SJKC, SMJK dan sekolah Mubaligh.
Selain itu, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah sudah dilancarkan dan diyakini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat jelata negeri ini.
Kerajaan Negeri Sabah juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas melantik pakar dalam bidang “Oil and Gas” untuk meneliti bidang-bidang yang boleh mendatangkan manfaat kepada pembangunan ekonomi negeri ini dalam jangka masa panjang.
“Pada masa ini yang penting bagi kita sekarang ialah memastikan keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat negeri ini terjamin…
“Oleh itu, saya telah mengarahkan Menteri yang bertanggungjawab ke atas SOP Pencegahan Penularan Pandemik COVID-19 dan pegawai-pegawai yang berkaitan agar melipat gandakan usaha untuk mempercepatkan suntikan vaksin kepada rakyat.
Pada masa ini, keselamatan dan sara hidup rakyat perlu diutamakan…
“Saya telah minta pemimpin-pemimpin kerajaan supaya kurangkan pertelingkahan tetapi tingkatkan uasaha dan tindakan untuk kebaikan rakyat negeri ini,” ujar Hajiji ketika menerima kunjungan hormat oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Jenis Kebangsaan Negeri Sabah (Sabah Dong Lian) hari ini di pejabatnya.
Pengerusi Sabah Dong Lian, Ben Lim Kiat Kong ketika pertemuan tersebut bagi pihak 83 buah SJKC dan 8 buah SMJK Negeri Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Mohd Noor, Ketua Menteri Sabah kerana terus meluluskan bantuan peruntukan kepada sekolah-sekolah bantuan kerajaan termasuk sekolah persendirian dan sekolah mubaligh walaupun negeri Sabah menghadapi isu pandemik COVID-19 yang sudah pasti memerlukan lebih banyak peruntukan untuk membantu rakyat dalam bidang kesihatan dan bantuan prihatin.
Sabah Dong Lian juga telah melaporkan situasi keadaan yang dihadapi oleh sekolah-sekolah SJKC dan SMJK masa kini kepada Ketua Menteri Sabah.
Selain itu, Sabah Dong Lian juga memohon kerajaan negeri meluluskan peruntukan kepada semua Lembaga Pengelola Sekolah SJKC dan SMJK untuk menaiktaraf sistem internet di sekolah dan membeli bahan bantu belajar ICT yang diperlukan.
Ben Lim juga merakamkan berbanyak terima kasih kepada En. Lo Su Fui, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah atas usaha membantu menjayakan kunjungan hormat ini.
Turut hadir dalam kunjungan hormta ini juga ialah Pengerusi Kehormat En. Tham Yun Fook, Naib Pengerusi En. Lim Ming Guan dan Setiausaha Agung En. Chan Jun Ket.





