SYDNEY, AUSTRALIA – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam satu kenyataan hari ini (Khamis) memaklumkan negara itu bersetuju untuk membeli tambahan 50 juta dos vaksin COVID-19.
Australia pada September setuju untuk memperuntukkan AUD$1.7 bilion (RM4.99 bilion) bagi membeli 85 juta vaksin dari AstraZeneca dan CSL Ltd jika ia terbukti berkesan.
Namun dalam usaha memaksimumkan akses terhadap vaksin, negara itu mengumumkan persetujuan untuk membeli dua lagi vaksin.
Tambah Morrison, Australia akan membeli 40 juta dos dari Novavax dan 10 juta lagi dari Pfizer serta BioNTech.
“Kami tidak mahu hanya berharap pada satu sumber,” katanya kepada wartawan di Sydney.
Perjanjian bersama Novavax, Pfizer dan BioNTech itu bernilai AUD$1.5 bilion.
Vaksin Pfizer-BioNTech itu bersama AstraZeneca dan Novavax adalah antara pendahulu yang bakal mendapatkan kelulusan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Jika ujian percubaan berjaya, Australia dijangka menerima fasa pertama vaksin AstraZeneca pada awal 2021.