PUTATAN, SABAH – Golongan muda diseru untuk menghayati serta mempelajari sejarah tentang kemerdekaan dan juga negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan dahulu perlu dihargai oleh semua orang khususnya golongan muda.
“Keharmonian serta kesejahteraan yang diwarisi dari dulu hingga ke hari ini perlu dikekalkan selain kedaulatan negara dan negeri Sabah hendaklah terus dipelihara.
“Pada tahun ini, Sambutan Hari Sabah yang julung kali diadakan turut akan disambut serentak pada 31 Ogos bagi menghargai pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjasa kepada negeri,” katanya ketika Majlis Perasmian dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan, Hari Sabah di Dewan Sri Putatan.
Selain itu, Shahelmy juga menyarankan golongan muda supaya bijak memanfaatkan teknologi maklumat dan digital bagi mengelak menggunakannya ke arah yang negatif.
“Maklumat-maklumat yang diperolehi perlu digunakan sebaiknya oleh golongan muda agar dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat setempat.
“Golongan dewasa juga diharapkan dapat membantu golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang boleh disebarkan melalui platform digital,” ujarnya di hadapan lebih 500 orang dalam program tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan turut menyeru agar setiap masyarakat agar mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah dengan bangga sebagai tanda cintakan negara serta negeri.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Sah Awang Sahari, Penolong Pegawai Kanan Majlis Daerah Putatan, Mohamad Ikram Aidi, Timbalan Polis Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir. — JABATAN PENERANGAN SABAH