KOTA KINABALU, SABAH – Pengamal media merupakan rakan strategik penting Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendedahkan isu-isu rasuah dan salah guna kuasa.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy berkata peranan pengamal media sangat membantu SPRM kerana terdapat kes yang didedahkan berjaya diselesaikan.
“Selain itu, dengan liputan dari pihak media secara tidak langsung dapat membantu SPRM dalam menyebarluaskan mesej-mesej serta dasar kerajaan yang berkaitan rasuah kepada masyarakat.
“Pendedahan yang dilakukan oleh pihak media boleh menjadi asas untuk SPRM membuka siasatan terhadap kegiatan rasuah ataupun salah guna kuasa,” katanya semasa Program Bual Bicara Bersama Pengamal Media Tahun 2024 di sebuah pusat membeli belah di ibu negeri.
Selain itu, Karunanithy turut berpendapat persepsi orang ramai terhadap SPRM bertambah baik hasil beberapa kes yang dapat diselesaikan bagi mengelakkan ketirisan berlaku.
Lebih 30 orang pengamal media di Sabah hadir ke program tersebut antaranya Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar dan Timbalan Pengarah Penerangan, Supian Musa. — JABATAN PENERANGAN SABAH