KOTA KINABALU, SABAH – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali berkata portfolio baharu beliau membawa tugasan mencabar.
“Ini kerana selain pengalaman pertama berada dalam kabinet persekutuan termasuk dalam landskap baharu dan unik kombinasi ahli jemaah menteri, saya diberikan portfolio yang berkait secara langsung dengan suara hati rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.
“Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi beliau, tanggungjawab tersebut menarik kerana amanah itu katanya amat dekat dengan inti pati perjuangan sejak sekian lama khususnya dalam arena politik.
Menurutnya antara agenda utama adalah untuk menyusul agenda yang berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Syukur Alhamdulillah, bukan sahaja saya telah mendapat pendedahan dan terlibat dalam perihal tanggungjawab ini semasa berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2020 di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, tetapi juga pengalaman bekerjasama dengan pasukan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) sebelum ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili.
“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia,” katanya.