KOTA KINABALU, SABAH – Penubuhan Yayasan Usahawan Muda dan Profesional Sabah (SAYAP) merupakan petanda baik sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membina modal insan berkualiti melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Saya gembira mengetahui bahawa SAYAP terdiri daripada profesional dan usahawan daripada pelbagai industri seperti Minyak dan Gas, Teknologi Digital, Ekonomi dan Kewangan, Perubatan, Pembinaan dan Seni Bina, Tenaga Mampan dan Boleh Diperbaharui, Sosial Usahawan serta penjawat awam negeri yang muda.
“Sebahagian besar daripada anda sudah berjaya dengan sendirinya justeru saya sangat menyokong pembentukan SAYAP sebagai kumpulan bebas untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya pada majlis pelancaran SAYAP di Hotel Marriot di sini hari ini.
Ucapannya disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Ketua Menteri berkata beliau kagum dengan inisiatif ini dan keghairahan sekumpulan anak muda Sabah yang telah pulang sama ada bekerja atau belajar di luar negara serta ingin menyumbang secara sukarela dan turut serta dalam pembangunan Sabah.
“Saya memuji dan menyokong inisiatif SAYAP untuk memulakan dan memberikan suara kepada generasi profesional dan usahawan Sabah yang akan datang ini.
“Saya gembira mendengar bahawa SAYAP berhasrat untuk menjadi jambatan antara agensi kerajaan negeri dan merentasi sektor swasta dan industri sambil menyokong Hala Tuju SMJ negeri.
“Saya ingin mendengar daripada SAYAP dan semua anak muda Sabah dan juga menawarkan platform di mana anda boleh memperkasakan profesional dan usahawan muda lain untuk menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Hajiji berkata Sabah mempunyai penduduk kedua terbesar di Malaysia, bermakna ia mempunyai kumpulan besar bakat dan pelanggan berpotensi.
“Namun begitu, kerajaan negeri mengakui isu penting ‘brain drain’ (kehilangan pekerja tempatan). Sebagai ketua eksekutif negeri, saya telah menekankan dan mengutamakan kepentingan modal insan dan memasukkannya sebagai salah satu teras utama Rancangan Pembangunan Hala Tuju SMJ.
“Kami komited untuk membasmi kebocoran otak dan membina kekuatan dan kemahiran melalui pelbagai inisiatif yang telah kami laksanakan,” katanya.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata RM175.61 juta telah diperuntukkan dalam bajet tahun depan untuk pembangunan modal insan dan ICT melalui pelbagai inisiatif untuk merangsang minat pelajar dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik ( STEM), antara lain.
Beliau berkata peruntukan itu juga akan melibatkan merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar untuk meluaskan liputan digital dan memacu transformasi digital di Sabah.
Tambahnya, pembangunan ICT di Sabah juga akan diberi penekanan dan Pusat Kemahiran dan Teknologi Sabah akan memperkenalkan inisiatif untuk membangun dan menyokong pembangunan industri digital sambil meneruskan latihan teknologi Revolusi Industri 4.0 sepanjang tahun depan.
Pada masa yang sama, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah juga akan meneruskan programnya untuk memastikan bakat modal insan Sabah terus dipertingkatkan.
Satu lagi pencapaian dalam usaha membangunkan modal insan Sabah ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Petronas dan Yayasan Universiti Kolej Sabah (UCSF) pada Oktober tahun ini.
Melalui kerjasama itu, beliau berkata UCSF akan menawarkan kursus berasaskan Minyak dan Gas di kampusnya bagi melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang dalam sektor ini.