Kluster PUI Sivagangga Ada Kaitan Dengan Kes Baharu COVID-19 Di Perlis Dan...

Kluster PUI Sivagangga Ada Kaitan Dengan Kes Baharu COVID-19 Di Perlis Dan Pulau Pinang

0
SHARE
Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah...

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pertambahan kes baharu COVID-19 yang dicatatkan negara semalam terutamanya di Perlis dan Pulau Pinang menunjukkan kaitan ketara terhadap Kluster PUI Sivagangga.

Ini selepas terdapat pertambahan lagi 13 kes positif COVID-19 dalam Kluster PUI Sivagangga itu sendiri, di mana 12 kes adalah kes baharu yang dilaporkan pada semalam (7 Ogos) dan 1 kes dikenalpasti daripada siasatan terhadap kes sedia ada (iaitu kes ke-9002, kes SARI yang dilaporkan pada 4 Ogos 2020 di Perlis).

Sumber Foto; CPRC Kebangsaan, KKM…

Terdahulu, sehingga 6 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,246 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:
43 kes dikesan positif COVID-19, seramai 2,320 individu negatif dan seramai 883 individu masih menunggu keputusan.

Menurut Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa seramai 1,884 individu kontak rapat telah dikenalpasti dan bakal disampel di Perlis dan Pulau Pinang, susulan kes positif yang diumumkan hari ini.

Pecahan terkini kes positif KLUSTER mengikut NEGERI adalah seperti berikut:
• 31 kes di Kedah;
• 11 kes dari Perlis; dan
• 1 kes dari Pulau Pinang.

10 kes baharu yang dilaporkan di Perlis pada hari ini, dan juga kes ke-9002 yang dilaporkan di Perlis pada 4 Ogos 2020 adalah kesemuanya daripada 1 keluarga. Ini menjadikan kesemua 11 kes daripada Perlis ini adalah daripada Kluster Sivagangga.

Sumber Foto; CPRC Kebangsaan, KKM…
Sumber Foto; CPRC Kebangsaan, KKM…

Tambah beliau lagi, hasil siasatan mendapati bahawa salah satu ahli keluarga tersebut (iaitu kes ke-9054, kes generasi kedua) adalah merupakan pelanggan tetap gerai milik kes ke-8976 (iaitu kes generasi pertama kluster ini). Ini menjadikan kes ke-9054 tersebut sebagai kes generasi kedua dan 10 ahli keluarga kepada kes ke-9054 adalah generasi ketiga kluster ini. Kesemua 10 kes baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis untuk rawatan.

1 kes baharu dari Kedah (kes ke-9053) pula adalah kontak rapat (isteri) kepada kes ke-9035 yang telah dilaporkan pada 6 Ogos 2020. Manakala, 1 kes baharu di Pulau Pinang (kes ke-9052) disaring kerana pada 30 Julai 2020 beliau telah pulang ke kampung halaman yang merupakan salah satu kawasan yang kini di bawah pelaksanaan TEMCO. Beliau merupakan seorang petugas kesihatan KKM.

Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) diteruskan. Langkah-langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berkait rapat dengan kluster ini.

KKM akan memaklumkan situasi terkini kluster ini dari semasa ke semasa kepada orang ramai dan turut menyeru kepada masyarakat agar menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut.