Domain Coop.My Diharap Dapat Perkasa Identiti Maya Koperasi – Ewon

Domain Coop.My Diharap Dapat Perkasa Identiti Maya Koperasi – Ewon

0
SHARE

PULAU LANGKAWI: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penggunaan domain Coop.My dapat memperkasakan identiti digital koperasi seterusnya memberi impak perniagaan.

Beliau berkata, domain Coop.My itu diperkenalkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama MYNIC, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital bagi menggalakkan pentadaptasian teknologi dalam kalangan koperasi.

“Sehingga kini, sebanyak 133 koperasi menggunakan perkhidmatan COOP.MY dalam aktiviti perniagaan mereka.

“Penggunaan domain ini mampu memberi impak terhadap perniagaan dari segi pasaran yang lebih luas, disenarai tinggi dalam enjin carian, jaminan keselamatan dan penjenamaan serta pencarian lebih pantas di internet.

“Justeru, saya menyeru koperasi mengambil peluang memanfaatkan domain COOP.MY dan penggunaan aplikasi atas talian dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) dan Program Transformasi dan Digitalisasi Koperasi (DigiKoP) 2024, di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kedah, di sini, kelmarin.

Ewon berkata, antara cabaran besar gerakan koperasi adalah pengadaptasian dan penggunaan teknologi atau digitalisasi dalam pengurusan dan menjalankan aktiviti perniagaan koperasi terutama bagi kategori koperasi kecil dan mikro.

Sehubungan itu katanya, KUSKOP telah melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP2030) pada tahun lepas dalam usaha membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan.

“Saya menyarankan agar koperasi menguasai selok-belok penggunaan platform digital bagi menawarkan produk dan perkhidmatan koperasi agar ianya dapat meluaskan empayar perniagaan seterusnya bersaing dengan entiti perniagaan yang lain.

“Dalam mendepani era digital, sudah tiba masanya koperasi beralih daripada perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata sehingga kini 133 koperasi telah melanggan domain khas COOP.MY sebagai usaha mendigitalisasikan perkhidmatan, produk dan pemasaran koperasi ke peringkat global.

Bagaimanapun katanya, angka itu masih rendah berbanding lebih 15,000 koperasi berdaftar dengan SKM di seluruh negara,

“Sehingga hari ini, saya dimaklumkan oleh MYNIC iaitu agensi di bawah Kementerian Digital sebanyak 133 koperasi di negara ini telah melanggan domain COOP.MY untuk membangunkan laman web mereka.

“Jadi, harapan kita lebih banyak koperasi mengambil tindakan sama supaya memperlihatkan kesatuan koperasi di negara ini,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan bantuan Jejak Koperasi (JEJAK) berjumlah RM200,000 untuk gerakan Koperasi Negeri Kedah sebagai sokongan pembabitan koperasi dalam sektor pelancongan.

Selepas Program MASKOP dan DigiKoP, Ewon turut meluangkan masa mengunjungi koperasi-koperasi di pulau itu melalui Program Jejak Koperasi.

Lawatan Jejak Koperasi yang pertama ialah Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad, Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad dan Koperasi Pengusaha dan Pemandu Kereta Sewa/ Teksi dan Limosin Langkawi Berhad.

Turut serta dalam lawatan itu Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi Eksekutif SKM Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor dan pegawai-pegawai kanan KUSKOP, SKM, IKMa, ANGKASA dan Perbadanan Nasional (PERNAS).