Sabah Perkukuh Usaha Lindungi Tanah Bencah

Sabah Perkukuh Usaha Lindungi Tanah Bencah

0
SHARE

KOTA KINABALU, 24 September – Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memulihara tanah bencah Sabah yang dianggap khazanah hidup serta pemacu pembangunan mampan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan tanah bencah bukan sahaja penting untuk alam sekitar tetapi turut berpotensi besar menjana ekonomi melalui ekopelancongan, perikanan lestari, perdagangan karbon dan perusahaan komuniti.

“Pendekatan kita bukan hanya melindungi alam semula jadi, tetapi memastikan pemuliharaan dan pembangunan dapat berjalan seiring,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, ketika merasmikan Simposium Antarabangsa mengenai Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Bencah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu telah mengambil langkah proaktif seperti mewartakan kawasan perlindungan, menetapkan Kota Kinabalu Wetland sebagai Tapak Ramsar antarabangsa, serta menyokong pemuliharaan hutan bakau, tanah gambut dan ekosistem pesisir pantai.

“Kerajaan negeri juga bekerjasama dengan komuniti tempatan, NGO termasuk Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS), institusi penyelidikan dan rakan antarabangsa dalam usaha memulihkan ribuan hektar hutan bakau serta membangunkan projek ekopelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

Projek-projek ini, kata Hajiji, bukan sahaja membantu menjana pendapatan kepada penduduk setempat tetapi turut memperkukuh pendidikan alam sekitar serta menyokong penyelidikan saintifik dan dasar pemuliharaan.

Namun, beliau mengakui cabaran masih wujud apabila perubahan iklim, pembandaran dan amalan tidak lestari terus memberi tekanan terhadap ekosistem tanah bencah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri komited memperluaskan kawasan pemuliharaan, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan melabur dalam mekanisme pembiayaan mampan seperti perdagangan karbon serta pampasan biodiversiti.

Hajiji turut mengiktiraf usaha SWCS yang kini mencalonkan Tanah Bencah Semenanjung Klias dan Tanah Bencah Lahad Datu sebagai Tapak Ramsar baharu, sekali gus mengangkat nama Sabah di peringkat antarabangsa dalam bidang pemuliharaan.