TAMPARULI: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa pelbagai slogan yang dibawa parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 tidak menggambarkan realiti sebenar negeri ini, sebaliknya hanya sekadar retorik tanpa asas pencapaian.
Beliau berkata, slogan seperti “Selamatkan Sabah”, “Kasi Bagus Sabah” dan “Bikin Balik Sabah” gagal menjelaskannya dengan jelas apa yang mahu diselamatkan atau diperbaiki, sedangkan GRS telah membuktikan rekod pentadbiran yang kukuh sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, parti-parti tertentu yang pernah diberi peluang memerintah selama dua setengah tahun dan gagal membawa kestabilan, kini kembali bertanding dengan slogan baharu yang tidak membawa makna.
Hajiji menegaskan bahawa hanya GRS memiliki rekod pentadbiran yang terbukti membawa kemajuan kepada rakyat, termasuk pelbagai inisiatif membasmi kemiskinan, pembangunan ekonomi, serta program kebajikan.
Antaranya termasuk program SYUKUR, iaitu bantuan RM300 sebulan kepada hampir 100,000 penerima e-Kasih, yang akan diteruskan jika GRS kekal sebagai kerajaan.
Beliau turut mengumumkan rancangan bantuan kepada warga emas 60 tahun ke atas serta insentif pembelian rumah pertama berharga bawah RM500,000.
“Kita membela rakyat di bawah, kita ada perancangan, kita ada dana dan kita buat kerja,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Mega Tamparuli di tapak tamu Pekan Tamparuli, Ahad.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS menyeru rakyat khususnya di Tamparuli dan Kiulu agar memastikan undi mereka membentuk kerajaan yang stabil dan mampu meneruskan pembangunan negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa Sabah kini berada di landasan yang betul melalui dasar pembangunan yang dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran GRS.
“Kalau mahu Sabah maju ke depan, rakyat perlu memilih GRS,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan cadangan calon GRS Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface, untuk menaik taraf Tamparuli daripada daerah kecil kepada daerah penuh, selepas mandat baharu diberikan kepada GRS.
Katanya, kerajaan sebelum ini sudah menaik taraf Paitan dan Sook kepada daerah penuh.
Ketika ditemui media, Hajiji optimis dengan sokongan berterusan rakyat terhadap calon-calon GRS–Pakatan Harapan di seluruh Sabah menjelang pengundian pada 29 November.
Beliau berkata sambutan rakyat sepanjang minggu pertama kempen amat memberangsangkan, menunjukkan keyakinan mereka terhadap kesinambungan pentadbiran GRS.
“Mereka sudah beri peluang kepada pihak lain. Kini mereka mahukan kerajaan GRS diteruskan untuk lima tahun akan datang,” katanya.






