RANAU, SABAH – Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat penting dalam usaha berterusan Kerajaan Negeri menuntut dan mendapatkan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, beberapa kejayaan telah dicapai dalam usaha ini sejak GRS-BN mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri, antaranya yang terbaik ialah memasukkan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini menjadikan MA63 sebagai satu dokumen yang sah dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan membolehkan Sabah menuntut semua hak-hak yang termaktub dalam MA63.
“Oleh itu, kita boleh tuntut semua yang termaktub dalam MA63 dan inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri GRS-BN ketika ini yang terus bekerja keras demi kepentingan negeri dan rakyat kita.
“Kemenangan GRS pada PRU15 akan memperkuatkan lagi suara dan usaha kita dalam menuntut semua hak-hak Sabah dalam MA63…
“Kerana itu, kita memerlukan sokongan berterusan dan tidak berbelah bahagi rakyat dalam memenuhi aspirasi bersama ini,” kata Dr Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang semasa merasmikan jambatan gantung, jalan raya serta pembaikan paip graviti Kampung Turuntungon dan naik taraf jalan raya Kampung Monggis dalam satu majlis di Balairaya Kg Turuntungon.
Dr. Joachim yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kundasang berkata, PBS Kundasang akan menyokong sesiapa sahaja yang akan diumumkan sebagai calon GRS untuk bertanding di Parlimen Ranau pada PRU15 ini demi mengukuhkan lagi Kerajaan GRS-BN.
“Sekarang ini kita mahu Kerajaan GRS-BN terus kukuh dan untuk ini kita perlukan persefahaman dan kerjasama yang jitu.
Beliau juga berharap semua pemimpin di peringkat akar umbi akan terus menyokong Kerajaan sedia ada.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik, Yubidi Gumpoyo; Ketua Pemuda Star Sabah merangkap Timbalan Ketua Pemuda GRS Sabah, Kong Soon Choi; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani; kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan juga Ketua Kampung.