10,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan Pelancaran Kaamatan 2024

10,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan Pelancaran Kaamatan 2024

0
SHARE
Kaamatan
Lapan Bobohizan daripada Kampung Mininsalu mempersembahkan Pasalakoi Do Bambarayon ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Kira-kira 10,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024.

Program berkenaan dirasmikan oleh wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan di Dewan Masyarakat Ranau, pada Rabu.

Meskipun acara rasmi hanya bermula pada 9.40 pagi, orang ramai dilihat mula membanjiri lokasi sambutan seawal 6.00 pagi.

Bermula dengan dendangan lagu tema Pesta Kaamatan 2024 bertajuk ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’, pengunjung disajikan dengan persembahan tarian sambut tamu iaitu tarian Sayau dan Sumirid dari etnik suku kaum Dusun Ranau.

Selepas itu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan Hiis ‘Sunduan Huminodun’ oleh 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, Ranau disusuli persembahan koir lagu ‘Tadau Tagazo Do Kaamatan’ dan ‘Mi-iso Misompuru Id Koubasanan’ daripada kumpulan Good News Melody KDCA Ranau.

Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Daerah, Tinus Manggam dan ucapan perasmian oleh Jeffrey sebelum menyempurnakan gimik perasmian bersama tetamu jemputan yang lain.

Sambutan kemudian diteruskan dengan persembahan Pasalakoi Do Babarayon oleh lapan orang Bobohizan daripada KDCA Kg. Mininsalu, Ranau dan drama tari Huminodun oleh kumpulan Tisakkor.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan gimik penyerahan Seeds Spirit Revival oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Robert Stidi kepada Jeffrey dan gimik penyerahan bakul makanan PETRONAS oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis.

Pada majlis yang sama, juga diadakan penyampaian empat anugerah iaitu Anugerah Khas Usahawan Tani, Anugerah Wanita, Anugerah Khas Belia dan Anugerah Tokoh Luguan Kaamatan Ranau Tahun 2024.

Menutup tirai persembahan, orang ramai dihiburkan dengan penampilan khas Juara Sugandoi Kaamatan Daerah Ranau Tahun 2024, Feli Stacy Paimin dan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023, Tati Carol Abbey Gail.

Sebelum berakhir, majlis menyaksikan lambaian akhir Unduk Ngadau Daerah Ranau 2023, Tati Fiumie Chang Yee Ann sebelum dipersembahkan dengan penampilan 12 finalis Unduk Ngadau Kaamatan Daerah Ranau 2024.

Selain acara di dalam dewan, pelbagai gerai jualan kraftangan, makanan dan minuman turut tersedia di perkarangan Dewan Masyarakat Ranau sepanjang sambutan berlangsung. — JABATAN PENERANGAN SABAH