KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor akan dijemput sebagai salah seorang pengucaptama dalam program dalam talian, Minds For Malaysia: Bridging The Skills Gap pada 9 Oktober (Khamis) depan.
Pengerusi Minds for Malaysia (M4M) selaku penganjur, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata program tersebut seiring dengan usaha untuk membantu dalam pembangunan belia dan graduan yang akan menyumbang kepada kelangsungan di negeri Sabah secara khususnya.
“Persidangan ini sebagai antara agenda untuk pembangunan belia seiring dengan keperluan industri dan meningkatkan kesedaran serta mendidik para pelajar, graduan dan belia mengenai kepentingan melengkapkan diri dalam kemahiran dan skil abad ke-21…
“Kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan dan memanam sifat keusahawanan sekali gus mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada yang lain,” jelasnya.
Beliau berkata ahli panel terhormat yang terdiri daripada pakar industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan akan berkongsi pengalaman serta nasihat mengenai kemahiran insaniah yang amat diperlukan graduan bagi menjamin peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian.

“Panelis terdiri daripada pakar-pakar tempatan dan antarabangsa antaranya dari Jepun, New Zealand, Indonesia dan wakil daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN)…
“Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik para pelajar, graduan dan belia mengenai kepentingan IR 4.0 (Revolusi Industri 4.0) dan inovasi digital terutama dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia,” kata Jaziri.