Kos Kurangkan Kesan Banjir Di Kota Marudu, Pitas Dianggarkan Bernilai RM301 Juta...

Kos Kurangkan Kesan Banjir Di Kota Marudu, Pitas Dianggarkan Bernilai RM301 Juta – JPS

0
SHARE

KOTA MARUDU, SABAH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menganggarkan kos sebanyak RM301 juta diperlukan bagi menangani atau mengurangkan kesan banjir di daerah Kota Marudu dan Pitas.

Timbalan Ketua Menterim Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, dana itu akan digunakan untuk menambah baik kerja-kerja kejuruteraan pada empat (4) sungai utama di daerah itu iaitu Sungai Bandau, Bongon, Tandek dan Rasak.

“Kerja-kerja itu termasuk membina benteng di sepanjang sungai, mengorek, melebarkan sungai, menaik taraf sistem perparitan dan memasang pintu kawalan banjir…

“Bagaimanapun, sebagai penyelesaian jangka pendek, jabatan akan menjalankan projek ‘ad-hoc’ untuk membersihkan longkang tersumbat supaya air dapat mengalir dengan lebih cekap ke dalam sungai memandangkan masalah longkang tersumbat merupakan antara punca utama banjir,” katanya.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata demikian selepas menghadiri taklimat JPS di sini hari ini.

Beliau turut melawat kawasan yang dilanda banjir dan mengagihkan bantuan seperti makanan dan air kepada penduduk kampung.

“Masalah tidak terhad kepada infrastruktur sahaja. Kita kini mengalami perubahan iklim global, yang mengakibatkan hujan yang luar biasa termasuk di kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini…

“Kita perlu melakukan siasatan menyeluruh terhadap keadaan sungai, bukan sahaja di sini tetapi di semua daerah di Sabah, berhubung perubahan iklim global supaya kita boleh merancang apa yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan kesannya,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa alam semula jadi akan sentiasa mencari jalan untuk membaiki dirinya dan malangnya, kebanyakan kerosakan yang berlaku kepada alam sekitar dilakukan oleh manusia.

“Apabila alam semula jadi menyembuhkan dirinya sendiri, ia boleh menjejaskan kita dengan cara yang teruk,” katanya.

Beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada terutamanya pada musim tengkujuh dan bersedia untuk berpindah secepat mungkin.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membina rumah terlalu dekat dengan sungai kerana ia bukan sahaja berbahaya tetapi juga menyalahi undang-undang.

“Undang-undang rizab Riparian harus dihormati dan bukannya diabaikan. Undang-undang dibuat untuk perlindungan kita sendiri, bukan kerana kerajaan tidak sensitif atau tidak bertimbang rasa,” katanya.

Selepas taklimat, Jeffrey menghadiri majlis perjumpaan dengan para petani di Pitas yang mana ladang mereka musnah akibat banjir.

Dr Jeffrey menyampaikan bantuan input pertanian kepada petani mangsa banjir di Pitas…

Menurutnya, sebanyak 44.65 hektar tanah ladang musnah mengakibatkan kerugian RM 56,700.

Antara bantuan input pertanian yang diberikan kepada petani terjejas termasuklah baja, racun perosak, penyembur dan penyejuk.