GPS KEKAL SOKONG MUHYIDDIN

GPS KEKAL SOKONG MUHYIDDIN

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini memberi sokongan penuh mereka kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“GPS akan tetap dengan pendiriannya dengan terus menyokong kerajaan pusat di bawah PN,” kata beliau selaku Pengerusi GPS.

Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, sokongan tersebut dicapai sebulat suara dalam mesyuarat GPS yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Mesyuarat GPS hari ini membincangkan situasi politik di Sarawak dan juga persoalan mengenai pandemik COVID-19…

“Dalam mesyuarat ini satu kesepakatan dicapai GPS terutama berkaitan apa yang berlaku di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera (PBB) di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri pemimpin parti komponen GPS yang lain iaitu Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan wakil dari Parti Demokratik Progresif (PDP).

Tambah beliau, ini bukan masa yang tepat untuk berpolitik kerana bakal meruntuhkan kestabilan negara lebih-lebih lagi semasa berdepan pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun tegasnya, ini adalah masa untuk seluruh rakyat Malaysia bergabung dan bekerjasama, seterusnya membawa kepada kejayaan melawan wabak maut COVID-19 ini.

Terdahulu, UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerajaan PN gagal mentadbir negara ini dan mereka menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.