KOTA KINABALU, SABAH – Sehingga September 2022, Sabah telah mencapai 1.19 Juta ketibaan pelawat iaitu sekitar 92 peratus daripada 1.3 Juta sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata berdasarkan aliran semasa, Sabah berada di landasan betul untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Untuk rekod, dari Januari hingga September 2022, Sabah mencatatkan 1,190,513 ketibaan pelawat dengan anggaran penerimaan pelancongan RM2.11 Bilion, iaitu RM1.89 Bilion lebih berbanding tempoh sama tahun lalu (RM0.597 Bilion)…
“Ketibaan domestik mencatatkan peningkatan sebanyak 680 peratus dengan 1,046,656 ketibaan pelawat berbanding tempoh Januari hingga September 2021 (134,191).
“Ketibaan Antarabangsa, mencatatkan Peningkatan sebanyak 6,442 peratus dengan 143,857 ketibaan berbanding Januari hingga September 2022 (2,199)…
“Pasaran domestik, Singapura dan Eropah seperti UK, Jerman, Perancis dan Belanda menunjukkan lantunan kukuh dan terus menerajui pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, bagi jumlah ketibaan Januari hingga September 2022, 38.2 peratus daripada angka 2019 iaitu 3,111,884 pengunjung dicapai.
“Saya optimis dengan usaha berterusan, perlahan-lahan tetapi pasti, kita akan dapat mencapai jumlah pelancong seperti sebelum pandemik,” tambahnya.
Sementara itu, penerbangan antarabangsa kini merekodkan 47 penerbangan seminggu dari Singapura, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Thailand.
Untuk penerbangan domestik pada masa ini terdapat 119 penerbangan setiap minggu.
“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa terdapat penerbangan antarabangsa yang akan datang bermula bulan depan hingga Januari 2023, dari Taipei, Narita Jepun, Busan dan Hong Kong,” katanya.
Jafry percaya peningkatan penerbangan antarabangsa akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
Kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) terus menjalankan pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi seperti e-baucar, rangsangan Perjalanan Domestik, kerjasama dengan rakan pelancongan, dan kempen keterlihatan tinggi yang memberi impak untuk merangsang lagi ketibaan pelawat ke Sabah serta mengekalkan keterlihatan dan pengukuhan destinasi di seluruh wilayah Sabah.
Di samping itu, STB juga terus mengambil bahagian dalam perdagangan fizikal dan pameran pengguna selain jerayawara untuk mendapatkan kembali bahagian pasaran dan meningkatkan keterlihatan destinasi dalam pasaran yang disasarkan seperti di UK, Timur Tengah, India, Jepun, Korea dan Australia.





