ADUN BERSATU Didakwa Bantu Anak Kempen Sebagai Calon BEBAS, GRS Tunggu Laporan...

ADUN BERSATU Didakwa Bantu Anak Kempen Sebagai Calon BEBAS, GRS Tunggu Laporan Sebelum

0
SHARE

PAPAR, SABAH – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menunggu laporan berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang yang didakwa menjadi dalang kepada tindakan anaknya, Riduan Rubin bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tenom.

Rubin yang juga merupakan sebahagian dari BERSATU Sabah itu turut didakwa menjadi dalang Riduan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Hajiji berkata pihaknya menunggu laporan terperinci berhubung perkara tersebut disamping menyatakan pihaknya perlu bersikap adil dan saksama sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita tengok dulu kalau dia (Rubin) terlibat secara langsung, kita boleh ambil tindakan tetapi pertama sekali saya kena minta laporan dulu…

“Walaupun kita nampak dia bersama-sama dengan anak dia dalam gambar tapi dia bukan berkempen dan sebagainya, ini yang perlu.

“Kita kena adil kepada semua tetapi kalau dia betul menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan…

“Jadi kita tengok dulu laporan. Kalau hanya berdasarkan gambar … duduk dengan anak, kita tidak boleh ambil tindakan,” katanya.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan gimik pelancaran Majlis Perasmian Bangunan Tambahan SMK St Joseph Papar hari ini (12 Nov 2022)…

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Bangunan Tambahan SMK St Joseph Papar, hari ini.

Sementara itu, Hajiji juga merupakan Ketua Menteri Sabah juga berkata Riduan telah meletak jawatan secara rasmi (dari parti BERSATU) sebelum hari penamaan calon yang lalu.

“Dia telah meletak jawatan, bertanding (sebagai calon bebas) jadi kita tidak boleh ambil tindakan dan kita tidak boleh halang,” katanya.

Semalam, dilaporkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan berkata pihaknya meminta GRS mengambil tindakan terhadap Rubin susulan dakwaan tersebut.

Katanya, tindakan Rubin telah melanggar kerjasama GRS-BN dan tindakan disiplin wajar diambil.

Ini termasuk menamatkan pelantikan mereka dalam apa-apa jawatan melibatkan agensi atau syarikat berkaitan kerajaan.