HWKKS Giat Laksana Kempen Derma Darah Tampung Peningkatan Permintaan

HWKKS Giat Laksana Kempen Derma Darah Tampung Peningkatan Permintaan

0
SHARE
Marcus
Marcus (tengah) menyerahkan Sijil Penghargaan kepada Francis Mujim ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) giat melaksanakan kempen derma darah bagi menampung keperluan yang sentiasa meningkat.

Pengarahnya, Dr Marcus Netto berkata, keperluan transfusi darah boleh berlaku pada bila-bila masa seperti kes-kes kecemasan pendarahan ketika kemalangan atau tumpah darah semasa wanita bersalin.

“Pada masa sama, terdapat pesakit-pesakit yang memerlukan transfusi darah dan produk darah secara berkala bagi kelangsungan hidup seperti pesakit Talasemia, pesakit kanser, Hemofilia serta Primary Immune Deficiency,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat HWKKS, pada Rabu.

Program bertemakan Give Blood, Give Plasma, Share life, Share Often tersebut mengajak masyarakat memainkan peranan berterusan sebagai penderma darah sukarela dalam menyelamatkan nyawa.

Marcus turut memaklumkan pada tahun 2021 lebih 10,000 pain darah merah diperlukan dan permintaan meningkat 8.2 peratus kepada 11,825 pada tahun 2022.

“Pada tahun 2022 terdapat 6,203 pendermaan manakala bagi tempoh enam bulan pertama 2023 adalah sebanyak 2,572 menunjukkan masih di bawah paras kutipan sebelum pandemik.

“Walaupun kita telah memasuki fasa endemik, situasi pendermaan hospital ini masih tidak mencapai kutipan seperti sebelum pra pandemik iaitu sejumlah 7,604 pada tahun 2019.

“Hospital kami adalah hospital wanita dan kanak kanak pertama di Malaysia dan uniknya turut menjadi pusat rujukan rawatan kanser dan radioterapi untuk seluruh Sabah serta Utara Sarawak,” ujarnya.

Hadir sama, Ketua Unit Perubatan Transfusi merangkap pengerusi penganjur, Dr Jamaludin Mail, Presiden Persatuan Thalasemia Sabah, Francis Mujim dan Timbalan Pengarah (Klinikal) HWKKS, Dr Christine Lu Shin Yeen. — JABATAN PENERANGAN SABAH