Jeffrey Pelawa Peter Anthony, Juil Nuantim Sertai STAR

Jeffrey Pelawa Peter Anthony, Juil Nuantim Sertai STAR

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan mempelawa bekas naib presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau Datuk Juil Nuantim menyertai parti tempatan itu.

Dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini, beliau berkata parti itu ingin membentuk gabungan dengan dua pemimpin Kadazan Dusun Murut (KDM) itu dan bekerjasama untuk menyatukan semua masyarakat KDM di Sabah di bawah satu panji.

“Sebuah rakyat KDMR yang bersatu adalah baik untuk Sabah. Sehubungan itu, saya juga ingin mempelawa Adun Inanam Peto Galim dan bekas ahli Parti Cinta Sabah (PCS) untuk turut serta dalam usaha membentuk nasib wilayah kita,” katanya lagi.

Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata pilihan raya Sarawak baru-baru ini menunjukkan bahawa orang Borneo mula menolak parti berasaskan Malaya dengan lebih banyak mengundi parti berasaskan tempatan.

“Mesej itu jelas untuk parti Malaya. Sekarang adalah masa untuk rakyat Sabah bersatu dan mengukuhkan pengaruh politik kita di persada negara,” ujarnya.