PAPAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika bermain di tepi sungai di Kampung Mandalipau, di sini, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tersangkut pada paip pam air selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mangsa, Najmal Walki, seorang warga asing ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 5 petang kelmarin di Kampung Manggis sebelum maklumat disalurkan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PKPgB Ronny Sikawan berkata, sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi mengesahkan penemuan mangsa sebelum mengangkat mayat dari sungai menggunakan pengusung.
“Mangsa berjaya dibawa naik ke darat oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. Susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.12 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Sebelumnya, operasi SAR hari ketiga itu dimulakan pada jam 10 pagi
dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat yang menjalankan pencarian di sepanjang Sungai Papar, Sungai Kabang hingga ke Sungai Ovai dalam radius kira-kira tiga kilometer menggunakan teknik Water Surface Search dengan bot rafting.
Menurutnya, mangsa dipercayai tergelincir ketika bermain di tepi Sungai Kampung Mandalipau pada pagi 23 Jun lalu sebelum dihanyutkan arus.
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 pagi hari kejadian, pasukan bomba melakukan staging di Jambatan Kampung Mandalipau, kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh, sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan untuk melaksanakan operasi SAR.
“Operasi pada hari pertama dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue serta dua selaman oleh anggota PPDA dengan bantuan Papar Water Rafting, namun mangsa gagal ditemukan sebelum pencarian diteruskan pada hari berikutnya,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan enam anggota BBP Papar dengan bantuan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua anggota Papar Water Rafting.






