MANILA, FILIPINA – Seorang wartawan berita Filipina meninggal dunia selepas menjadi mangsa ditembak beberapa kali di rumahnya baru-baru ini.
Memetik laporan AFP, Ketua Polis tempatan, Mejar Peter Glenn Ipong, berkata bahawa mangsa, Orlando Dinoy, seorang wartawan dalam talian (online), Newsline Philippines dan penyampai untuk Energy FM, ditembak enam das oleh seorang lelaki bersenjata yang menyerbu masuk ke dalam apartmennya di bandar Bansalan, pulau Mindanao.
“Mangsa meninggal dunia serta-merta dan pegawai masih menyiasat kemungkinan motif…
“Satu sudut yang kami lihat ialah kerjanya sebagai seorang media, tetapi tiada siapa yang boleh memberi kami petunjuk konkrit setakat ini,” katanya.
Negara kepulauan itu adalah satu daripada tempat paling berbahaya di dunia untuk wartawan dan kebanyakan pembunuh mereka tidak dihukum.
Menurut Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina, Dinoy ialah wartawan ke-21 yang terbunuh sejak Presiden, Rodrigo Duterte mengambil alih kuasa pada 2016.

Ketua Polis Negara, Jeneral Guillermo Eleazar mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap kes itu dan berikrar untuk melindungi media daripada serangan.
Dalam laporan bulan ini, Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang berpangkalan di New York menyenaraikan Filipina di tempat ketujuh dalam Indeks Impunity Globalnya dengan 13 pembunuhan wartawan masih belum diselesaikan.
Negara ini menjadi tunjang utama dalam indeks tahunan sejak ia bermula pada 2008.