KOTA KINABALU, SABAH – Kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri penting dalam membantu penurunan kes di Sabah selepas negeri ini mencatatkan penurunan ketara jumlah kes positif COVID-19 iaitu dengan 75 kes daripada 265 kes sebelum ini (Sabtu), kepada 190 KES kelmarin (Ahad) dengan tiada kewujudan kluster baharu.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata daripada 190 kes jangkitan baharu hari ini 101 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat.
“Lagi 44 kes adalah daripada saringan kluster, 31 kes adalah daripada saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan lapan kes adalah daripada lain-lain kes.”
Dalam pada itu 10 daerah di Negeri Sabah juga mencatatkan penurunan kes.
TUJUH (7) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala tiga daerah lain menunjukkan penurunan ketara pada julat dua angka iaitu Tawau (-43 kes), Kalabakan (-38) dan Kota Kinabalu (-26 kes).
Walau bagaimanapun, LAPAN (8) daerah yang mencatatkan peningkatan kes.
“Enam daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala dua lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kunak 34 kes (+14) dan Papar 25 kes (+13),” kata beliau.
Sepuluh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Ranau, Beluran, Telupid, Pitas, Sipitang, Keningau, Tongod, Tenom, Nabawan dan Tambunan.
Masidi berkata sungguhpun berlaku trend penurunan kes di Negeri Sabah sejak kelmarin, perubahan angka bagi daerah-daerah yang berada di Zon Kuning, Jingga dan Merah adalah tidak statik.