KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt berkata telah menghantar surat bagi menolak tawaran gelaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Pangkat itu telah dikurniakan kepada beliau sempena sambutan ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 5 Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, ADUN Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu berkata beliau masih sedang menunggu balasan surat tersebut bagi penjelasan situasi.
“Tidak tahu. Tunggu lah. Itulah saya tidak pergi terima sebab belum dapat surat balas.
“Tapi saya ada hadir di Istana masa upacara sebagai pelawat. Jawatankuasa Pusat DAP pun tiada cakap apa-apa.
“Saya mahu jelaskan pun belum dapat surat tapi sudah kena warta. Kalau saya dapat (gelaran Datuk) atau tidak, tunggu lah tapi saya sudah tolak,” katanya ketika ditemui di SICC pada Isnin.
Dasar DAP menetapkan hanya ADUN yang telah bersara boleh memohon dan menerima anugerah kehormat.
Bagaimanapun, setakat ini, lima ahli politik DAP di Sabah telah menerima pangkat kebesaran mereka.
Mereka termasuk mendiang Datuk Stephen Wong, Datuk Jimmy Wong, Datuk Frankie Poon, Datuk Phoong Jin Zhe dan Datuk Chan Foong Hin.
Jawatankuasa Pusat DAP dilaporkan telah mengenakan tindakan hukuman kepada Phoong dan Chan tahun lalu.