Lebih 1,500 Meriahkan HSN 2024 Peringkat Daerah Putatan

Lebih 1,500 Meriahkan HSN 2024 Peringkat Daerah Putatan

0
SHARE
Shahelmey
Ikram (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Shahelmey (tiga dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Lebih 1,500 masyarakat sekitar memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Daerah Putatan.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata pihak penganjur menyasarkan hanya seribu penyertaan namun jumlah tersebut meningkat dan mendapat sambutan melebihi jangkaan awal.

“Saya amat berbangga melihat penyertaan kanak-kanak sehinggalah golongan veteran dan beberapa orang kurang upaya (OKU) yang turut tidak melepaskan peluang bagi mengikuti program HSN 2024 Peringkat Daerah Putatan.

“Penglibatan yang sangat memberangsangkan ini menunjukkan respon positif daripada masyarakat khususnya di Putatan dalam membudayakan aktiviti sukan untuk menjaga kesihatan sebagai gaya hidup mereka.

“Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa yang terlibat secara langsung atau tidak dalam memastikan program HSN 2024 peringkat daerah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Semoga dengan penganjuran program sebegini akan dapat memberi manfaat dengan memupuk budaya sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan acara HSN 2024 peringkat daerah Putatan di perkarangan Dewan Sri Putatan pada Ahad.

Program-program yang dilaksanakan antaranya fun ride, fun run dan fun walk sejurus perasmian HSN 2024.

Selain itu, pertunjukkan karate daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, Marymhel Leonarda Aleasya Rodriguez Cachola, 9 turut memukau pengunjung yang hadir pada program tersebut. — JABATAN PENERANGAN SABAH