Larangan Jamuan Sewaktu Kempen Pilihan Raya Contoh Undang-Undang Lapuk – Azam 

Larangan Jamuan Sewaktu Kempen Pilihan Raya Contoh Undang-Undang Lapuk – Azam 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Undang-undang lapuk seperti larangan menghidangkan makanan dan minuman (jamuan) semasa kempen pilihan raya harus dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau mengulangi gesaan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Ogos yang berkata terdapat lebih 3,000 undang-undang lapuk yang sepatutnya melihat pembaharuan.

“Pembaharuan ini mesti diambil kira oleh semua agensi. Contohnya, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah digubal sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“Ada beberapa peruntukan yang perlu dilihat seperti Seksyen 9 yang melarang jamuan semasa berkempen.

“Pada pandangan peribadi saya, ia tidak praktikal pada zaman sekarang kerana ia sudah menjadi kebiasaan. Tetapi semuanya terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Beliau menyatakan yang lain seperti Akta Pemegang Amanah adalah lebih rumit dan memerlukan lebih banyak masa.

“Jadi kita fokus kepada yang lebih mudah dan lebih penting,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (KITA) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, pada Isnin.

Berkenaan program, beliau memuji usaha Kerajaan Negeri Sabah dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang memajukan usaha memupuk integriti dalam sektor awam.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri berkenaan kemungkinan menjemput peserta luar negara pada program yang seterusnya.

“Mungkin dalam masa dua tahun akan datang, bagi perkongsian ilmu yang lebih mendalam,” katanya.