Usahawan Bimbingan INSKEN Catat Hasil Jualan RM8.7 Juta Sepanjang 2022

Usahawan Bimbingan INSKEN Catat Hasil Jualan RM8.7 Juta Sepanjang 2022

0
SHARE
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick sekitar Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022, di Bangi Resort Hotel...(Sumber Foto: Ihsan Kementerian Usahawan dan Koperasi)

BANGI, SELANGOR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) sepanjang tahun ini (2022) berjaya mencipta RM8.7 hasil jualan.

Beliau berkata, ia jelas membuktikan program bimbingan ini memberikan kesan serta impak positif untuk usahawan.

“Malam ini merupakan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN pertama yang saya hadiri. Saya sangat berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai keberhasilan program-program anjuran INSKEN khususnya program bimbingan.

“Saya amat teruja melihat pencapaian-pencapaian program yang dilaksanakan oleh INSKEN.

“Pertama sekali, RM3.8 juta peningkatan hasil jualan yang dicipta oleh usahawan yang menyertai program kali ini dengan 9 usahawan berjaya mengubah status perniagaan daripada mikro kepada kecil selepas menyertai progam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022, di Bangi Resort Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datuk Sham Shamrat Sen Gupta dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.

Dalam majlis graduasi itu, seramai 180 orang daripada tujuh kumpulan usahawan berjaya menamatkan program bimbingan INSKEN.

Daripada jumlah terbabit, 87 orang usahawan adalah Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan kerjasama INSKEN.

Ewon berharap dengan adanya majlis graduasi akan memberikan suntikan semangat kepada para usahawan untuk terus maju ke hadapan.

“Saya amat berbangga melihat pencapaian yang sangat baik daripada usahawan bimbingan INSKEN…

“Seramai 106 usahawan berjaya menunjukkan peningkatan hasil jualan, dan daripada jumlah tersebut, 75 usahawan berjaya mencapai KPI yang telah ditetapkan iaitu peningkatan jualan minima sebanyak 20 peratus,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan cemerlang kepada INSKEN atas kejayaan menganjurkan program seumpama ini yang memberikan banyak manfaat kepada usahawan.

“Semoga INSKEN terus cemerlang serta kekal proaktif dalam membantu usahawan melalui program pembangunan keusahawan dan sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara yang optimum,” katanya.