KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai yang hendak balik ke daerah asal diberi kelonggaran berbuat demikian dalam masa tempoh TIGA (3) hari bermula hari ini (13 Januari) sehingga hari Jumaat, 15 Januari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengarahkan semua petugas dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sekatan Jalanraya mengambil tindakan untuk memberi kebenaran rentas daerah atau negeri kepada orang ramai dalam tempoh yang telah ditetapkan ini.

Ketika dihubungi wartawan RTM di Kota Kinabalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali mengesahkan kenyataan tersebut telah dibuat Tan Sri Abdul Hamid dalam satu sidang media khas di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, malam tadi.

Dalam pada itu, Datuk Hazani berharap orang ramai yang ingin balik ke daerah asal akan berbuat demikian sebelum tempoh yang diberikan berakhir dan mengamalkan etika berhemah ketika memandu.