Imam Maut Selepas Ditembak Di Luar Masjid Newark

Imam Maut Selepas Ditembak Di Luar Masjid Newark

0
SHARE

NEW JERSEY – Seorang imam maut selepas ditembak di luar masjid Newark, awal pagi semalam, dan pihak berkuasa belum mengenal pasti suspek atau motif serangan, kata pendakwa raya tempatan.

Tiada petunjuk bahawa tembakan itu adalah jenayah bermotif berat sebelah atau tindakan keganasan domestik berdasarkan bukti yang dikumpul setakat ini dalam siasatan, kata Peguam Negara New Jersey, Matthew Platkin pada taklimat sebelah petang.

Pejabat Platkin lazimnya tidak akan mendedahkan bentuk maklumat itu pada peringkat awal, tetapi beliau berkata, beliau berbuat demikian berikutan lonjakan insiden berat sebelah terhadap pelbagai agama, terutama masyarakat Islam, baru-baru ini.

Memetik laporan Reuters, imam yang terbunuh pada Rabu ialah Hassan Sharif yang mana telah ditembak beberapa kali sejurus selepas jam 6 pagi di dalam kenderaannya di luar masjid Masjid Muhammad di Newark, kata pendakwa raya Essex County Theodore Stephens pada sidang akhbar, semalam.

Sharif meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital tempatan pada petang semalam.

“Terdapat ramai di New Jersey sekarang berada dalam ketakutan,” kata Platkin.

Insiden antisemitik dan Islamofobia meningkat di seluruh Amerika Syarikat (AS) sejak serangan Hamas 7 Oktober ke atas Israel dan tindak balas tentera Israel di Gaza.

Akibatnya, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS pada Disember mengeluarkan panduan keselamatan untuk komuniti berasaskan kepercayaan.

Cadangan agensi itu termasuk membangunkan pelan keselamatan, meletakkan individu atau jawatankuasa bertanggungjawab ke atas keselamatan, melengkapkan penilaian risiko, menyelaraskan dengan komuniti setempat dan mengenal pasti sumber yang ada.

Sejak 7 Oktober, pihak berkuasa meningkatkan kehadiran penguatkuasaan undang-undang di semua rumah ibadat di New Jersey, terutama di masjid dan rumah ibadat, kata Platkin.

Pengarah Keselamatan Awam New Jersey, Fritz Frage, mengulangi kenyataan Platkin dan Stephens bahawa setakat ini tidak ada yang menunjukkan bahawa penembak itu didorong oleh berat sebelah, tetapi berkata, penyiasat sedang mencari semua petunjuk ketika mereka terus menyiasat kejadian itu.