Kerajaan Disaran Giatkan Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Berhubung Tarif Timbal...

Kerajaan Disaran Giatkan Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Berhubung Tarif Timbal Balas Amerika

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk terus mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan – kerajaan Negeri berhubung tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap negara ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO) berkata, ia bagi mengenalpasti cabaran-cabaran jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang kesan daripada pelaksanaan tarif tersebut.

“Dengan itu kerajaan dapat memberi keutamaan untuk menggembleng sumber-sumber asli mahu pun modal insan untuk memaksimakan potensi merancakkan pelaburan khususnya dalam industri hiliran.

“Sebagai contoh di Sabah, sudah sekian lama kita berjuang untuk memperhebatkan industri hiliran di sektor kelapa sawit, namun pelbagai hambatan dan cabaran yang perlu ditempuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan sempena Sidang Khas Parlimen Dewan Rakyat di sini pada Isnin, berhubung Tarif Timbal Balas yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut Madius, kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Free Trade Zone di POIC Lahad Datu juga memerlukan segala sokongan dan bantuan berterusan daripada kerajaan pusat.

Dalam hal ini katanya, kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah perlu menumpukan perhatian terhadap penyelesaian masalah bekalan air dan bekalan elektrik yang sangat kritikal bukan sahaja untuk keperluan penduduk tetapi juga untuk keperluan merancakkan lagi usaha perindustrian.

“Kedudukan Geopolitik Sabah dalam ASEAN juga perlu dimanfaatkan sebaik-baik dengan menggemblengkan segala kekuatan sumber-sumber asli serta kekuatan geografi seperti Taman Perindustrian POIC, Taman Perindustrian SOGIP dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu.

“Justeru, dalam hal menangani karenah Trump ini, Tuaran mencadangkan supaya satu Task Force ditubuhkan Kerajaan Persekutuan di peringkat Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Ketua Menteri untuk mencadangkan kepada kerajaan respon secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang,” ujar Madius.

Terdahulu, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) itu memaklumkan, selepas pengumuman Tarif Timbal Balas pada 2 April 2025, kesannya sudah mula dirasai walaupun tarif itu hanya dikuatkuasakan pada 1 Julai 2025.

Selain kejatuhan pada pasaran bursa saham katanya, ia juga memberi impak terhadap operasi pelbagai sektor di seluruh dunia yang akhirnya memberi kesan kepada permintaan komoditi.

“Ia mengakibatkan penurunan menjunam harga Brent Minyak Mentah Petroleum sebanyak 14 peratus daripada USD73 ke USD63, serta penurunan harga minyak mentah kelapa sawit sebanyak 17 peratus daripada RM4,796 kepada RM3,974.

“Akibatnya wilayah seperti Sabah, yang mengeksport hanya RM400 juta kepada USA pun terkesan khususnya terhadap pungutan hasil kerana Sabah bergantung kepada cukai jualan komoditi minyak mentah petroleum dan minyak mentah kelapa sawit.

“Oleh itu unjuran RM6.44 Billion pungutan hasil Sabah pada tahun ini berpotensi mungkin tidak akan tercapai,” jelas Madius.

Ujar beliau, sebab itulah rakyat tertunggu-tunggu apakah respon serta halatuju Kerajaan Malaysia mengharungi terutama sekali kesan negatif Tarif Timbal Balas Trump.

“Tahniah kepada Kerajaan kerana mengadakan Sidang Khas Parlimen ini untuk memberi kenyataan halatuju Kerajaan Malaysia dan seterusnya memberi peluang dan ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen membahaskan halatuju tersebut,” ujar bekas menteri persekutuan itu lagi.