Manchester City Tundukkan PSG 2-1, Selesa Untuk Mara Ke Final

Manchester City Tundukkan PSG 2-1, Selesa Untuk Mara Ke Final

0
SHARE

PARIS, PERANCIS – Manchester City berasa selesa selepas tundukkan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di sini malam tadi.

Kegembiraan tuan rumah PSG yang mendahului gol pada babak masa pertama meneusi tandukan Marquinhos pada minit ke-15 telah dileburkan oleh kapten Manchester City, Kevin De Bruyne yang menewaskan Keylor Navas dengan sepakan lencong pada minit ke-64 pada babak masa kedua untuk gol penyamaan sebelum Riyad Mahrez memastikan kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-71.

“10 minit terakhir babak pertama cukup baik dan babak kedua amat cemerlang di semua bahagian…

“Kami menjaringkan dua gol di tempat lawan yang amat penting sekali, tetapi tugas sukar menanti kami dalam tempoh enam hari.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan tetapi kita masih di pertengahan. Masih ada 90 minit untuk menewaskan mereka dan PSG adalah pasukan yang mampu melakukan apa saja,” kata pengendali City Pep Guardiola.

Selepas bermula baik, PSG terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Idrissa Gana Gueye dibuang padang pada minit ke-77 kerana mengasari Ilkay Gundogan.

Rekod PSG di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini tidak begitu baik apabila mereka turut tewas kepada Manchester United, Barcelona dan Bayern Munich.

Selepas ini, tugas sukar buat PSG yang menanti mereka di England pada Selasa ini dalam usaha memburu tempat di aksi final Liga Juara-Juara kelak.