PAITAN: KDCA Paitan kini dijadikan hab utama pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Sugut dan Paitan bagi memastikan penyaluran barangan keperluan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan sistematik.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi serta Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata, Pusat Khidmat ADUN N.48 Sugut telah menyelaras pengagihan bantuan makanan, pakaian terpakai (bundle) serta pakaian baharu kepada mangsa terjejas.
“Hab pengagihan di KDCA Paitan membolehkan bantuan disusun secara lebih sistematik sebelum disalurkan ke kampung-kampung dan pusat pemindahan sementara (PPS) terlibat. Kita mahu pastikan tiada mangsa tercicir daripada menerima bantuan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, sejak hari pertama bencana melanda akibat hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan beberapa laluan terputus dan ratusan penduduk dipindahkan, beliau turun padang memimpin sendiri operasi bantuan di kawasan terjejas.
Menurutnya, koordinasi turut dilakukan bersama agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan proses pemindahan dan penyaluran bantuan berjalan lancar.
Dalam usaha memperkukuh penyelarasan operasi, James turut mengatur penghantaran empat unit peranti Starlink ke kawasan banjir bagi mewujudkan sambungan internet sementara.
“Pemasangan Starlink ini amat penting untuk melancarkan komunikasi antara pasukan penyelamat, pusat operasi dan PPS. Ia juga membantu mangsa berhubung dengan keluarga masing-masing ketika berdepan situasi sukar,” katanya.
Beliau turut meninjau keadaan kampung-kampung terjejas termasuk tahap kerosakan infrastruktur jalan raya dan kemudahan awam, selain memberi perhatian khusus kepada sekolah-sekolah yang terkesan bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan segera selepas banjir surut.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Seluruh jentera diarahkan terus berada di lapangan untuk memantau perkembangan semasa dan memastikan bantuan sampai kepada semua mangsa tanpa mengira lokasi,” tegasnya.
James turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan serta masyarakat setempat atas komitmen dan kerjasama padu sepanjang operasi bantuan banjir dijalankan.
“Kerjasama erat semua pihak adalah kunci utama dalam memastikan usaha pemindahan, penyelamatan dan pemulihan pasca-banjir dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tersusun,” katanya.






