Amanah Hanya Dapat Kerusi Sulabayan, Bakal Bertembung Dengan Warisan?

Amanah Hanya Dapat Kerusi Sulabayan, Bakal Bertembung Dengan Warisan?

0
SHARE
lokolo1 - 1

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka hanya diberikan satu kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang, iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan.

Menurut sumber, nama Zulfikar Ab Mijan disebut-sebut sebagai calon yang bakal diletakkan di kerusi tersebut, yang sebelum ini merupakan kubu kuat Parti Warisan (Warisan).

Bagaimanapun, langkah itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati politik kerana Amanah dan Warisan merupakan sekutu di bawah Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Sukar difahami apabila dua parti yang bersama dalam kerajaan pusat bakal bertembung di peringkat negeri.

“Jika benar berlaku, ia menimbulkan persoalan tentang penyelarasan strategi antara parti komponen,” kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, Amanah Sabah sebelum ini memohon lima kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN kali ini, namun perkembangan terbaharu menunjukkan parti itu mungkin hanya diberikan satu kerusi sahaja sebagai ruang membina tapak politik di Sabah.

Sebelum ini, AMANAH menyasarkan empat kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN Sabah.

Pada 17 Mei lalu, Pengarah Pilihan Raya Nasional AMANAH, Mohd. Sany Hamzan dilapor berkata, empat kerusi terbabit ialah Tanjung Aru, Karambunai, Lumadan dan Sulabayan, masing-masing dalam Parlimen Putatan, Sepanggar, Sipitang dan Semporna.

Sumber itu menambah, Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai kekuatan besar di kawasan berkenaan, sekali gus memberikan kelebihan kepada Warisan yang pernah mengekalkan pengaruh kukuh di Sulabayan.

Pada PRN Sabah 2020, kerusi DUN Sulabayan dimenangi calon Warisan, Datuk Jaujan Sambakong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).