Pakar Catur Saman Netflix RM20.95 Juta

Pakar Catur Saman Netflix RM20.95 Juta

0
SHARE

LOS ANGELES – Pakar catur Georgia, Nona Gaprindashvili memfailkan saman terhadap syarikat penstriman terkenal iaitu Netflix kerana mendakwa dirinya difitnah dalam salah satu episod popular, ‘The Queen’s Gambit’.

Gaprindashvili, 80, merupakan wanita pertama yang telah mencapai status ‘Grandmaster‘ catur mengemukakan saman itu di Mahkamah Persekutuan September lalu yang mana menyebabkan Netflix bakal berdepan saman fitnah AS$5 juta (RM20.95 juta)

The Guardian melaporkan bahawa Mahkamah di California Khamis lalu menolak permohonan Netflix untuk membatalkan saman itu.

Gaprindashvili mendakwa ungkapan wataknya dalam siri berkenaan yang berkata beliau ‘tidak pernah berdepan dengan lelaki’ sepanjang kerjayanya, sebagai berunsur menghina dan memperkecilkan wanita.

Pakar catur Georgia, Nona Gaprindashvili merupakan wanita pertama yang telah mencapai status ‘Grandmaster’ catur…

Pada hakikatnya, beliau bersaing dengan puluhan pemain catur lelaki sehingga 1968 iaitu tempoh yang dipilih bagi penggambaran siri popular ‘The Queen’s Gambit’.

Memetik kenyataan AFP, Peguam Netflix cuba membatalkan saman berkenaan atas alasan siri berkenaan berasaskan fiksyen dan tidak dilindungi oleh Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat (AS), yang melindungi kebebasan bersuara.

Namun, Hakim Persekutuan, Virginia Phillips, menolak usul itu dengan mengatakan alasan bahawa siri berkenaan berasaskan fiksyen tidak mengecualikan Netflix daripada saman malu.

‘The Queen’s Gambit’ yang dibintangi Anya Taylor-Joy, adalah berdasarkan novel terbitan 1983 oleh Walter Tevis, mengenai kehidupan seorang anak yatim yang menjadi pemain catur terkemuka dunia.

Walaupun watak utama, Beth Harmon, sebenarnya tidak wujud, beberapa watak pemain catur lain termasuk Gaprindashvili adalah benar.

Gaprindashvili adalah wanita pertama dianugerahkan gelaran ‘Grandmaster’ oleh Persekutuan Catur Antarabangsa pada 1978.