JKDM Sabah Berjaya Rampas Dadah Seberat 8.6 Kg Di KKIA

JKDM Sabah Berjaya Rampas Dadah Seberat 8.6 Kg Di KKIA

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas dadah jenis syabu dan ketamine seberat 8.6 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 29 Ogos (Ahad) lalu.

Rampasan dadah sintetik bernilai RM404,375 berkenaan dibuat lebih kurang 7 pagi.

Pada awalnya, anggota keselamatan dari MasKargo mendapati hasil imej imbasan mencurigakan ke atas 16 kotak polisterin yang diisi dengan ikan sejuk beku.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Datuk Abdullah Jaapar menjelaskan imej imbasan tersebut menunjukkan terdapat satu imej lapisan di bawah ikan dan penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak Kastam.

“Hasil pemeriksaan lanjut Cawangan Penguatkuasaan mendapati 16 bungkusan plastik lutsinar ditemui berisi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis ketamine dengan anggaran berat dan nilai sebanyak 5.43 kg dan RM287,843.00, manakala dadah jenis methamphetamie (syabu) dianggarkan seberat 3.23 kg dengan nilai anggaran sebanyak RM116,532.00…

“Seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun ditahan berhubung kes ini bagi membantu siasatan.

“Modus operandi kes ini adalah dengan mengisi bahan yang disyaki bahan terlarang dadah jenis ke dalam plastik lutsinar sebelum disembunyikan ke dalam ruangan tersembunyi di bahagian dalam kotak polisterin ikan sejuk beku,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Datuk Abdullah Jaapar…

Abdullah berkata kaedah ini digunakan dengan tujuan untuk mengaburi mata pihak penguatkuasaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau memperincikan bahawa sejak awal Januari tahun ini sehingga kini, JKDM Sabah telah berjaya merammpas dadah jenis methamphetamine seberat 235.35 kg dan dianggarkan bernilai RM8.47 juta, dadah jenis ketamine seberat 5.43 kg dengan nilai anggaran sebanyak RM287,843.00, ganja seberat 1.02 kg dengan nilai anggaran sebanyak RM2,555.00 dan ketum seberat 3.40 kg dengan nilai RM34.00.

“Sehingga kini, seramai enam (6) orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan dua (2) orang kena tuduh (OKT) dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan…

“Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” beliau berkata.

Dalam pada itu, JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasam dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” tegasnya.