TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau telah menggagalkan cubaan menyeludup rokok kretek di perairan Tawau pada awal pagi Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, berdasarkan maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai di Jeti CIQ Tawau, sebuah bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak bagi mengesan dan menahan bot serta suspek yang terlibat.
“Pada jam lebih kurang enam pagi,sebuah bot penumpang yang bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Jeti CIQ Tawau telah ditahan dan diperiksa di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Jeti CIQ Tawau.
“Seorang juragan lelaki tempatan berusia 33 tahun bersama seorang penumpang wanita warga Indonesia berumur 48 tahun berada di dalam bot tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa bot tersebut telah menemukan 28,000 batang rokok kretek yang disembunyikan di dalam guni yang berisi muatan pisang dipercayai cuba diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya.
Tambah beliau, juragan bersama penumpang serta muatan dan bot ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Nilai rampasan keseluruhan termasuk bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM43,000 debgan nilai rokok berjumlah RM18,000.
Menurutnya, bagi kesalahan pertama penyeludupan rokok, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barangan itu,atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Penguatkuasaaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan Tawau. Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” tegasnya.





