PERSATUAN BANTU KOMUNITI KURANG BERKEMAMPUAN LENGKAPKAN USAHA KERAJAAN TINGKATKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

PERSATUAN BANTU KOMUNITI KURANG BERKEMAMPUAN LENGKAPKAN USAHA KERAJAAN TINGKATKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

0
SHARE
Hajiji
Caption Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew ketika hadir sempena Majlis Makan Malam Amal Persatuan Sumber Harapan Sabah di Dewan Hakka, semalam ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai matlamat sama untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan, melengkapkan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Nood berkata ini kerana meningkatkan kesejahteraan rakyat adalah salah satu agenda pembangunan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bertujuan memacu pembangunan menyeluruh rakyat dan negeri ini.

“Pelbagai program yang dilaksanakan oleh NGO termasuk inisiatif “Jom Balik Sekolah” oleh Persatuan Sumber Harapan Sabah, telah membantu kanak-kanak kurang berkemampuan atau miskin di negeri ini amat baik. Ia melengkapi usaha kerajaan menerusi agenda SMJ.

“Malah, konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi tumpuan kepada usaha yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam Amal Tahun Baharu Cina Persatuan Sumber Harapan Sabah, di Dewan Hakka di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah, Josephine Hadikusumo, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Sabah, Rafael Walangitan; Konsul Jeneral, Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shi Fang dan Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Shiho Kako.

Sehubungan itu, Hajiji mahu lebih banyak NGO di negeri ini tampil untuk saling bekerjasama supaya dengan bersama-sama akan memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan di negeri ini.

“Persatuan Sumber Harapan Sabah telah berjaya mengagihkan bantuan pendidikan kepada sekolah di 20 daerah di negeri ini antaranya di Ranau, Kudat, Tuaran, Pitas, Kota Marudu dan Tawau.

“Justeru, saya mahu lebih banyak lagi NGO akan tampil dan saling bekerjasama supaya dapat membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau turut berharap agar lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan, turut mendapat manfaat dalam setiap aktiviti amal yang dilaksanakan NGO di negeri ini.