Ops Gegar; RM13 Juta Ditemui Sekitar Bandar Raya Kota Kinabalu

Ops Gegar; RM13 Juta Ditemui Sekitar Bandar Raya Kota Kinabalu

0
SHARE
Sumber Foto; Kosmo Online

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Sabah hari ini menemui wang tunai sebanyak RM13 juta dalam dua serbuan menerusi Ops Gegar di sekitar bandar raya ini awal pagi tadi.

Memetik laporan Kosmo Online, difahamkan Ops Gegar yang bermula pada pukul 1 pagi itu dilakukan Jabatan Imigresen Sabah selepas penguat kuasa tersebut menerima maklumat mengenai aktiviti pemerdagangan manusia di beberapa lokasi di bandar raya itu.

Satu sumber memberitahu, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dan pegawai imigresen melakukan serbuan di sebuah bilik hotel di sini sebelum membuat tangkapan dan menemui sejumlah wang tunai yang banyak.

Susulan tangkapan pertama itu, polis membuat serbuan kedua di sebuah apartmen yang terletak tidak jauh dari hotel yang diserbu.

Kata sumber itu, serbuan di apartmen itu juga memberi kejutan kedua apabila penguat kuasa itu turut menemui sejumlah lagi wang dalam jumlah yang besar.

“Serbuan pertama dikatakan sebanyak RM8 juta wang tunai ditemui diikuti penemuan di apartmen RM5 juta.

“Wang di hotel ditemui disimpan di dalam kotak minuman keras dan laci manakala wang di apartmen ditemui tersembunyi di dalam kotak minuman keras,” kata sumber itu.

Jelas sumber itu, dalam kedua-dua serbuan itu, imigresen menahan tiga lelaki tempatan dan 16 wanita warga asing masing-masing melibatkan Filipina dan China. Mereka yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun.

Sehingga malam tadi, sumber itu berkata, imigresen negeri sedang mengemas kini kiraan jumlah sebenar wang dirampas.

Bagaimanapun, sumber sama memberitahu, kesemua wang RM13 juta yang dirampas itu dikatakan bukan hasil aktiviti pelacuran.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman pula enggan mengulas lanjut mengenai operasi dan penemuan sejumlah wang tersebut.