Bagaimana Mahu Meyakinkan Pengundi Kalau Saling Bercakaran? – Abqaree

Bagaimana Mahu Meyakinkan Pengundi Kalau Saling Bercakaran? – Abqaree

0
SHARE
Abqaree Fawwaz Abekan...

KOTA KINABALU, SABAH – Tidak wujud sebarang keputusan atau mesyuarat berhubung agihan kerusi yang bakal ditandingi semasa Mesyuarat Badan Pimpinan BERSATU Sabah yang diadakan di Magellan Sutera Resort pada Sabtu baru-baru ini.

Demikian kata Exco Armada Nasional Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abqaree Fawwaz Abekan sebagai “menjernihkan suasana yang timbul membabitkan Bersatu dan UMNO” dan pembalasan terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain.

Menurut Abqaree, pergolakan politik tanah air dan hubungan dalaman Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan agenda utama mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat lebih berkisar kepada gerak kerja Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini telah dilantik selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dalam memastikan kelancaran proses pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang,” katanya.

Abqaree menekankan bahawa Keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) sendiri meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Katanya kenyataan yang diberi Tan Sri (Muhyiddin) hanya menjawab pertanyaan wartawan berhubung dengan keputusan PAU2020 dan kenyataan terbuka pemimpin utama UMNO yang menolak sebarang kerjasama dengan BERSATU.

“Perlu diambil maklum oleh saudara Ir Abdul Aziz, pemimpin Bersatu Sabah sehingga ke hari ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengguris mana-mana pemimpin GRS termasuk UMNO…

Ir Abdul Aziz Julkarnain…

“Malah, Bersatu Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor sentiasa mengingatkan pemimpin-pemimpin dan ahli Bersatu di seluruh Sabah agar sentiasa menjaga hubungan baik yang wujud dalam GRS kerana ini adalah kerajaan yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat pada PRN-16 yang lalu.

“Meskipun usia GRS baru setahun jagung, tapi janganlah hendaknya kenyataan terbuka dan tidak sensitif sebegini dijadikan norma dan amalan dalam menlontarkan pandangan.

“Seharusnya pemimpin GRS termasuk pemimpin muda menunjukkan contoh dan tauladan terbaik kepada pengundi-pengundi muda di luar sana.

“Setiap kenyataan yang meragukan perlu dibincang dan diselesaikan secara dalaman dan bukannya dibawa ke pengetahuan umum yang mana akan merugikan GRS itu sendiri.

“Bagaimana mungkin GRS mampu meyakinkan pengundi muda untuk memilih calon-calon GRS pada PRU-15 kelak, jika pemimpin dalam GRS saling bercakaran sesama sendiri,” katanya.

Beliau menggema kenyatan Muhyiddin yang berkata kewujudan GRS adalah bukti keunikan dan kematangan berpolitik pemimpin Sabah yang tidak terpengaruh dengan sentimen dan ketidak stabilan politik di peringkat persekutuan.

Abqaree memetik kata Muhyiddin: “kita dalam Bersatu ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu, maknanya itulah keputusan yang mereka ambil. Maka, kalau kita terpaksa bertembung dan tiada cara untuk mengelakkannya jadi, kita akan menghadapinya”.