Pencuri Kabel Ditahan Bersama Motosikal Curi

Pencuri Kabel Ditahan Bersama Motosikal Curi

0
SHARE
Polis
Suspek ditahan BSJ Papar ( Sumber Foto: Ihsan IPD Papar )

PAPAR, SABAH – Polis menangkap seorang suspek pencuri komponen elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Kampung Jawa, Kimanis, pada pagi Sabtu.

Lelaki berusia 25 tahun itu juga dipercayai menggunakan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang dari kawasan Kota Kinabalu bagi meneruskan kegiatannya.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya bertindak atas aduan oleh SESB.

Ia melibatkan kes kehilangan komponen elektrik di Pencawang Elektrik Tanaki, Kinarut pada 4 Disember lalu.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar menyerbu rumah yang tidak bernombor pada kira-kira jam 10 pagi.

“Turut dirampas bersama suspek satu beg galas berisi beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri.

“Pasukan polis turut menemui motosikal jenis Honda EX5 warna hitam dipercayai digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.