SEPANG – Sebuah syarikat pemilik premis perniagaan di sini didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah atas pertuduhan menjual produk tembakau di bawah harga jualan minimum, tahun lepas.
Hukuman itu dijatuhkan selepas wakil syarikat YYT Global Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Puan Khairatul Animah Jelani.
Syarikat tersebut dilaporkan telah membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, premis milik syarikat itu didapati menjual produk tembakau jenama Manchester pada harga RM6.00 sepaket, iaitu jauh lebih murah daripada harga minimum RM12.00 bagi setiap paket rokok, cerut, atau produk dipanaskan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Kesalahan itu dilakukan di premis EZ Fresh Mart Paragon @ Pan’Gaea, Persiaran Bestari di sini, kira-kira jam 2.40 petang, pada 29 Oktober 2025.
Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 14(4) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang dibaca bersama Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda bagi mana-mana syarikat atau premis yang gagal mematuhi peraturan harga jualan minimum yang ditetapkan bagi menjaga kesihatan awam.
Fakta kes mendedahkan, kesalahan itu dikesan melalui satu serbuan yang dijalankan oleh Pegawai Diberikuasa di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, Jonny Madin bersama pembantunya, Nurin Izzazi Azman.
Susulan penemuan produk tembakau yang dijual bawah harga pasaran itu, satu kertas siasatan telah dibuka oleh Pegawai Penyiasat, Siti Noralya Atiqah binti Jafri.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Aisah Nur Che Mohd Rose.






