TAWAU: Pulau Sebatik diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau mengambil keputusan tersebut susulan situasi semasa yang semakin meruncing di lapangan.
Pengisytiharan itu dibuat pada jam 10 pagi hari ini oleh Pengerusi JPBD Tawau, Joseph Pang, berdasarkan laporan dan maklumat terkini daripada agensi-agensi terlibat di bawah JPBD.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan penyelarasan tindakan serta bantuan kepada penduduk terjejas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
“Berdasarkan laporan serta maklumat terkini daripada agensi-agensi di lapangan, saya selaku Pengerusi JPBD Tawau dengan ini mengisytiharkan bencana kemarau di daerah Tawau, khususnya melibatkan Pulau Sebatik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi, semua agensi berkaitan akan digerakkan secara bersepadu bagi menangani impak kemarau termasuk memastikan keperluan asas seperti bekalan air mencukupi untuk penduduk terjejas.
Pengisytiharan ini turut membolehkan pelaksanaan langkah mitigasi serta bantuan logistik dipercepatkan, selain memastikan pemantauan berterusan dilakukan bagi mengurangkan kesan bencana terhadap komuniti setempat.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengamalkan langkah penjimatan air sepanjang tempoh kemarau ini.






