RANAU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar yakin akan ada penambahbaikan terhadap pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dalam tempoh dua hingga tiga minggu susulan sesi libat urus yang sedang dijalankan Kerajaan Negeri bersama kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri selepas kementeriannya melaporkan hasil libat urus bersama Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) minggu lalu berhubung kesan pelaksanaan subsidi bersasar diesel terhadap rakyat Sabah.
“Saya telah melaporkan secara keseluruhannya bagaimana petani kita terjejas, bagaimana jentera ladang kita terjejas, bagaimana kenderaan pikap kita terjejas dan sebagainya, termasuk golongan belia yang memiliki kenderaan pikap dan jeep untuk tujuan pekerjaan serta perniagaan.
“Ketua Menteri mengambil perhatian serius perkara ini dan telah mengarahkan Kabinet Negeri menjemput Kementerian Kewangan dan KPDN bagi sesi taklimat serta libat urus bersama penjawat awam dan wakil rakyat kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, sesi pertama akan melibatkan ketua-ketua jabatan negeri pada Jumaat ini di Menara Kinabalu, manakala sesi kedua bersama wakil rakyat kerajaan akan diadakan pada Ahad bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan memperoleh gambaran lebih jelas mengenai situasi sebenar di lapangan sejak pelaksanaan BUDI Diesel.
Jamawi berkata, Sabah mempunyai keperluan yang berbeza berbanding Semenanjung kerana faktor geografi dan jarak perjalanan yang jauh, sekali gus memerlukan pendekatan lebih sesuai dalam pelaksanaan dasar subsidi bahan api.
“Kita tidak sama seperti di Semenanjung. Kalau di sana memandu tiga jam boleh merentasi beberapa negeri, tetapi di Sabah memandu tiga jam pun mungkin belum sampai ke satu daerah. Sebab itu keperluan penggunaan diesel dan petrol di Sabah berbeza.
“Kita faham isu ketirisan perlu ditangani, tetapi jangan kerana kegagalan mengawal ketirisan, beban itu dipindahkan kepada petani, nelayan, pengusaha industri makanan dan golongan muda yang berniaga. Itu tidak adil kepada mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, di sini, semalam.
Dalam majlis itu, kementeriannya menyampaikan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau melibatkan peralatan seperti tiang pagar, dawai pagar, makanan ternakan dan mesin pemproses rumput bagi menghasilkan makanan ternakan yang lebih berkualiti.
Jamawi berkata, Kerajaan Negeri kini giat memulihkan padang-padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebelum ini sebagai sebahagian usaha memperkasa sektor penternakan ruminan dan unggas di Sabah.
“Sejak enam bulan lalu saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempergiatkan program-program berkaitan serta memperkasakan penternakan ruminan, unggas dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sambutan terhadap inisiatif Kebun Dapur amat menggalakkan dengan lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini terlibat dalam aktiviti tersebut berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurutnya, Kerajaan mengadakan seramai 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun perkembangan semasa menunjukkan sasaran itu berpotensi dicapai lebih awal.
“Kita menjangkakan 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, tetapi melihat kepada semangat rakyat Sabah hari ini, saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian,” katanya.
Beliau berkata kementerian juga sedang membangunkan platform digital dikenali sebagai kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan pengusaha menjual hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus tanpa orang tengah.
Katanya, platform itu tidak memerlukan lesen khas, namun semua produk akan dipantau oleh agensi berkaitan bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan terjamin sebelum dipasarkan kepada pengguna.
“Kita mahu memudahkan urusan pemasaran, tetapi pada masa sama memastikan hasil yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan melalui pemantauan pegawai-pegawai di lapangan,” katanya.






