KERAJAAN GRS AKAN BERI PERUNTUKAN RM2 JUTA KEPADA SETIAP KAWASAN DUN TAHUN...

KERAJAAN GRS AKAN BERI PERUNTUKAN RM2 JUTA KEPADA SETIAP KAWASAN DUN TAHUN 2022 – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi peruntukan sebanyak RM2 juta kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini pada tahun hadapan.

Ketua Menteri, yang juga Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ini dalam ucapan penggulungan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pagi tadi.

“Ia dengan harapan semoga dengan peruntukan tambahan ini akan dapat membantu Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam mengurus dan menangani masalah rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Tanpa mengira sudut politik, beliau menyeru semua pemimpin Sabah untuk sama-sama bekerja, berusaha dan terus mencurah bakti, ke arah memajukan dan memakmurkan negeri.

“Cabaran pada tahun hadapan mengajak kita untuk lebih berhati-hati serta lebih bijaksana dalam mentadbir dan mengurus hal ehwal negeri, apatah lagi dengan ancaman pandemik yang belum berakhir…

“Marilah kita sama-sama berdoa, semoga negeri bertuah yang tercinta ini kekal aman, makmur dan sejahtera; dijauhi daripada segala wabak, bencana dan marabahaya.

“Bersama-sama kita membina semula ekonomi negeri ini demi kesejahteraan rakyat dan 13 kemakmuran yang berpanjangan di bawah gagasan Sabah Maju Jaya,” ujarnya.