KERAJAAN NEGERI SENTIASA URUS KEWANGAN SECARA BERHEMAT DAN BERHATI-HATI – KM HAJIJI

KERAJAAN NEGERI SENTIASA URUS KEWANGAN SECARA BERHEMAT DAN BERHATI-HATI – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan berhemat dan berhati-hati dalam menyediakan Belanjawan Tahunan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ini kerana ia melibatkan penggunaan wang rakyat dan negeri.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini beliau berkata Belanjawan 2022 adalah belanjawan lebihan sebanyak RM110.68 juta.

“Kerajaan berupaya mengekalkan belanjawan lebihan dengan jumlah anggaran perbelanjaan sebanyak RM4.596 billion iaitu lebih tinggi daripada anggaran perbelanjaan tahun 2021…

“Belanjawan ini dirangka berdasarkan kepada keperluan kementerian dan jabatan dengan mengambilkira kapasiti berbelanja dan pelaksanaan.

“Walau bagaimana pun, sekiranya berlaku sebarang keperluan mendesak yang melangkaui peruntukan yang disediakan, maka perkara itu akan diurus melalui peruntukan tambahan pada pertengahan tahun hadapan,” jelasnya.

Hajiji berkata walaupun Sabah boleh berbangga dengan pencapaian Hasil Negeri, ini tidak bermakna ia boleh membelanjakan kesemua hasil yang telah diusahakan sedaya upaya dengan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, menurutnya, Sabah perlu terus mengukuhkan rizab negeri bagi memastikan kewangan negeri adalah pada tahap yang jitu, sihat dan kukuh, serta berupaya untuk berdepan dengan cabaran-cabaran kewangan dan ekonomi di masa akan datang.

“Justeru itu, penyediaan Belanjawan 2022 adalah berdasarkan kepada pengurusan sumber kewangan yang berhemat, berhati-hati dan realistik…

“Ia selaras dengan disiplin kewangan yang cekap berlandaskan kepada dasar fiskal kerajaan bagi memastikan perbelanjaan awam menepati objektif kementerian dan jabatan disamping mengelakkan pembaziran melalui pengawalan perbelanjaan yang efektif,” jelasnya.

Beliau turut menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai yang membangkitkan isu peruntukan bagi pembayaran atas perintah oleh mahkamah berjumlah RM130 juta pada tahun 2022.

Jelasnya, peruntukan yang dimaksudkan itu adalah bagi membayar kos tuntutan ganti rugi akibat penamatan awal kontrak konsesi ‘outsource’ Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), yang ditamatkan secara tidak wajar pada Januari 2019 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Beberapa sesi perundingan telah diadakan antara pihak konsesi dengan Jabatan Peguam Besar Negeri sejak tahun 2020 sebelum ianya dimuktamadkan dengan penjimatan sebanyak RM88 juta kepada Kerajaan,” tambahnya.