KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini melancarkan perasmian Pertubuhan Kebajikan lslam Sabah (PERKIS) dan Mesyuarat Agung Pertamanya di Tun Sakaran Ballroom, RAIA Hotel, dekat sini.
PERKIS ditubuh dan didaftarkan pada 21 Februari 2020, diketuai oleh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin selaku Presiden.
Dalam ucapannya, Hajiji bagi pihak kerajaan negeri, mengucapkan tahniah kepada Lajim, barisan kepimpinan dan ahli-ahli PERKIS seluruh Sabah, kerana telah menggerakkan pelbagai aktiviti di negeri ini.

Katanya, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, PERKIS berjaya menganjurkan beberapa aktiviti dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat lslam, dengan mematuhi SOP ketat.
“Saya berharap agar semua program lain yang telah dan akan dirancang, dapat dilaksanakan dengan jayanya serta mencapai objektif penubuhan PERKIS seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan PERKIS.
“Saya juga berharap agar ahli-ahli PERKIS terus meningkatkan perpaduan dan kerjasama dengan penuh dedikasi merentasi fahaman politik kepartian, bangsa serta daerah untuk membantu ummah lslam di Sabah khasnya.”
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri juga berharap PERKIS mampu mendepani segala isu berkaitan lslam khususnya dalam aspek perpaduan, ekonomi, kebajikan, maslahah dan persepsi negatif yang ditohmahkan terhadap agama serta umat lslam.
“Saya juga berharap PERKIS yang diterajui kepimpinan yang berpendidikan, berpengalaman dan “multi skills” dalam pelbagai bidang serta merentasi fahaman politik kepartian, bangsa dan kedaerahan, akan mampu merealisasikan segala aktiviti yang telah dan akan dirancang…
“Saya percaya semua aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya dengan barisan kepimpinan PERKIS yang diketuai oleh Lajim, pemimpin yang berpengalaman dan dibantu ahli jawatankuasa yang saya lihat semuanya berpengalaman sama ada dalam keagamaan mahu pun kemasyarakatan,” katanya lagi.

Hajiji berharap PERKIS dan badan bukan kerajaan (NGO) lslam yang lain terus bersama-sama kerajaan mendokong segala usaha dan membantu rakyat, tanpa mengira sentiman kaum dan daerah.
“Sabah yang mempunyai lebih 32 etnik memerlukan kita berganding bahu mengembeling tenaga dan menguruskan sumber ekonomi sebaik mungkin demi kemakmuran rakyat dan Sabah…
“Walaupun Sabah kaya dengan pelbagai sumber ekonomi, tetapi rakyat tidak akan menikmati kemakmuran sumber ekonomi itu jika kita gagal menguruskan sebaiknya,” tegasnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri sedar bahawa tidak semua perkara mampu dilaksanakan kerana agensi atau jabatan kerajaan juga mempunyai keterbatasan dan kekangan tertentu terutama untuk turun padang melihat keperluan seorang demi seorang terutama yang berada di luar bandar atau pedalaman.
Dalam konteks ini, katanya NGO seperti PERKIS boleh membantu kerajaan untuk menyampaikan segala bantuan dan agenda kerajaan untuk rakyat.
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif.