Dua Pemandu Mabuk Dihukum Penjara, Denda RM22,000

Dua Pemandu Mabuk Dihukum Penjara, Denda RM22,000

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Dua individu masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM22,000 oleh Mahkamah Trafik di sini pada Rabu atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Justin Joutin, 29 tahun dan Joseph Sabinus 27 tahun mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret, Wan Farrah Farriza Wan Ghazali dan Stephanie Sherron Abbie kerana melakukan kesalahan itu.

Justin dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 kerana melakukan kesalahan itu pada 12.30 tengah malam 11 Februari 2023 di Jalan Bundusan di hadapan stesen minyak Petron, Penampang.

Manakala, Jospeh dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara atas kesalahan yang dilakukan pada jam 1.50 pagi, 15 Oktober 2022 di Jalan Lintas Kopungit di sini. 

Kedua-dua mereka merayu hukuman diringankan. Bagaimanapun, Majistret memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara sehari berkuat kuasa semalam.

Mereka didakwa di bawah Seskyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 dan RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada dua tahun dari tarikh sabitan.