Sebanyak 65 Premis Di Sabah Berdaftar Menyertai Program Menu Rahmah

Sebanyak 65 Premis Di Sabah Berdaftar Menyertai Program Menu Rahmah

0
SHARE
Samin (kedua kanan) dan Georgie (kedua kiri) dalam gimik pelancaran Menu Rahmah di KTYS ( Sumber Foto: KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 65 premis di Sabah telah mendaftar bagi menyertai Program Menu Rahmah dengan yang terbaharu di Kafeteria, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) kampus Sembulan dan Citarasa Dapur Kampus di kampus Likas.

Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki bersama-sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas, merasmikan hidangan makanan berharga RM5 di kafeteria-kafeteria kolej tersebut pagi tadi.

Samin berharap inisiatif itu akan dapat memberi manfaat kepada mahasiswa kolej berkenaan. Menurutnya, KTYS juga merupakan Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama di Sabah yang menawarkan menu rahmah.

Melalui program tersebut, pelanggan boleh mendapatkan satu set hidangan lengkap yang merangkumi nasi, satu sumber protein, satu jenis sayur pada kadar yang tidak melebihi RM5 bagi satu hidangan.

Dalam pada tu, Georgie berkata pihak KPDN sangat berterima kasih kepada pengusaha-pengusaha makanan yang menyahut usaha kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dengan menyediakan makanan pada harga yang berpatutan kepada golongan sasar khususnyan golongan B40.

“KPDN Sabah amat mengalu-alukan pengusaha makanan untuk menyertai Program Menu Rahmah ini dan mengambil peluang ini untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat di samping sama-sama membantu rakyat untuk mengurangkan kos sara hidup.

“Disamping itu, pihak KPDN juga menyeru kepada semua rakyat untuk menyokong Program Menu Rahmah serta mengongsikan pengalaman peribadi makan Menu Rahmah di media sosial bagi sama-sama menghebahkan program ini agar lebih ramai rakyat boleh turut menikmati kebaikan program ini,” katanya.