KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH) telah menghantar surat kepada pihak Kementerian Pendidikklan Malaysia (KPM) agar pembukaan sekolah 1 September ini ditangguhkan.
Presidennya, Hj. Yahya Hj. Ahmad berkata tindakan itu demi keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah, disamping mengambil kira kebimbangan guru dan ibu bapa.
“Melihat keadaan di Sabah sendiri dengan kes COVID-19 yang masih tinggi dan semua zon sabah sudah berada dalam zon merah maka dengan sendirinya persekitaran dalaman dan luaran sekolah jelas masih merisaukan dan belum dikira selamat…
“Apatah lagi pelajar kita belum diberi vaksin dan ada kalangan Pengetua Sekolah sekolah dan guru kini berada dalam wad rawatan covid atau di pusat kurantin,” katanya.
Yahya berkata pandangan beliau telah dipanjangkan kepada Perdana Menteri sendiri agar isu tersebut diberikan perhatian tuntas.
“Dalam situasi yang belum menentu ini, keutamaan dan pertimbangan kita semua harus lebih berasas dan bersikap lebih berhati-hati…
“Saya yakin dan percaya dari cerapan semua data isu COVID-19 yang terkini pihak KPM dan Kerajaan mampu membuat keputusan yang tepat,” kata beliau.